Lukas 11:32-42 Alkitab Berita Baik (BM)

32. Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!”

33. “Tidak ada orang yang memasang pelita lalu menyembunyikan atau menaruh pelita itu di bawah pasu. Dia akan meletakkannya di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke rumah dapat melihat cahayanya.

34. Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita.

35. Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap.

36. Jika seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya dan tidak ada bahagian yang gelap, maka seluruh tubuhmu itu terang benderang seperti disinari cahaya.”

37. Setelah Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke situ lalu mulai makan.

38. Orang Farisi itu hairan melihat Yesus makan dengan tidak membasuh tangan terlebih dahulu.

39. Oleh itu Tuhan berkata kepadanya, “Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan.

40. Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam?

41. Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih.

42. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberikan sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain.

Lukas 11