23. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan orang yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!”
24. “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika roh jahat itu tidak dapat menjumpai tempat tinggal, roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’
25. Ketika roh itu kembali, roh itu mendapati rumah itu bersih dan teratur.
26. Lalu roh itu akan pergi memanggil tujuh roh jahat lain yang lebih jahat daripadanya. Kemudian semua roh itu akan memasuki orang itu lalu tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu menjadi lebih buruk daripada dahulu.”
27. Setelah Yesus berkata demikian, seorang wanita antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya wanita yang melahirkan dan menyusui kamu!”
28. Tetapi Yesus menjawab, “Lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan melakukannya!”
29. Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus.
30. Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini.
31. Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!
32. Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!”
33. “Tidak ada orang yang memasang pelita lalu menyembunyikan atau menaruh pelita itu di bawah pasu. Dia akan meletakkannya di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke rumah dapat melihat cahayanya.
34. Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita.
35. Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap.
36. Jika seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya dan tidak ada bahagian yang gelap, maka seluruh tubuhmu itu terang benderang seperti disinari cahaya.”
37. Setelah Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke situ lalu mulai makan.
38. Orang Farisi itu hairan melihat Yesus makan dengan tidak membasuh tangan terlebih dahulu.
39. Oleh itu Tuhan berkata kepadanya, “Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan.
40. Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam?
41. Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih.
42. Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberikan sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain.