Lukas 10:31-42 Alkitab Berita Baik (BM)

31. Kebetulan pada masa itu seorang imam lalu di situ. Apabila dia melihat orang itu, dia menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan.

32. Demikian juga seorang Lewi lalu di situ. Dia mendekati orang itu untuk melihatnya, lalu menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan.

33. Tetapi seorang Samaria yang sedang lalu di situ, tiba di tempat orang itu terbaring. Ketika dia melihat orang itu, hatinya penuh belas kasihan.

34. Maka dia mendekatinya lalu membersihkan luka-lukanya dengan wain dan mengubatinya dengan minyak. Selepas itu dia membalut luka-lukanya dan menaikkan orang itu ke atas haiwan tunggangannya sendiri. Dia membawa orang itu ke rumah tumpangan dan merawat dia di situ.

35. Keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan itu dan berkata kepadanya, ‘Rawatlah dia, dan sekiranya wang ini tidak cukup, saya akan membayarnya apabila saya kembali ke sini.’ ”

36. Lalu Yesus mengakhiri ceritanya dengan bertanya, “Menurut pendapatmu, di antara ketiga-tiga orang itu, siapakah yang menjadi sesama orang yang dirompak itu?”

37. Guru Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.”Yesus berkata pula, “Pergilah dan berbuatlah demikian!”

38. Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan, lalu tiba di sebuah pekan. Di situ seorang wanita bernama Marta menjemput Yesus ke rumahnya.

39. Marta mempunyai seorang saudara perempuan bernama Maria. Maria duduk dekat kaki Tuhan untuk mendengarkan ajaran-Nya.

40. Tetapi Marta gelisah kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Ya Tuhan, tidakkah Tuhan peduli bahawa Maria membiarkan aku sibuk seorang diri? Suruhlah dia tolong aku!”

41. Tuhan menjawab, “Marta, Marta! Kamu sibuk serta khuatir akan banyak perkara,

42. tetapi hanya satu yang mustahak! Maria sudah memilih perkara baik, yang tidak akan diambil daripadanya.”

Lukas 10