20. Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.”
21. Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa.
22. Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.”
23. Lalu Yesus berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, “Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini!
24. Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.”
25. Kemudian seorang guru Taurat datang untuk memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus saya lakukan supaya mendapat hidup sejati dan kekal?”
26. Yesus menjawab, “Apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Bagaimana tafsiranmu?”
27. Orang itu menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segala kekuatanmu, dan dengan seluruh akalmu’; dan ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ ”
28. Yesus berkata kepadanya, “Jawapanmu itu benar. Berbuatlah demikian, dan kamu akan mendapat hidup sejati dan kekal.”
29. Tetapi guru Taurat itu hendak membela diri, lalu bertanya, “Siapakah sesama saya?”
30. Yesus menjawab, “Seorang lelaki turun dari Yerusalem dan pergi ke Yerikho. Di tengah perjalanan, dia diserang penyamun. Mereka merompak dan memukul dia setengah mati, lalu meninggalkannya di tepi jalan.
31. Kebetulan pada masa itu seorang imam lalu di situ. Apabila dia melihat orang itu, dia menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan.
32. Demikian juga seorang Lewi lalu di situ. Dia mendekati orang itu untuk melihatnya, lalu menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan.
33. Tetapi seorang Samaria yang sedang lalu di situ, tiba di tempat orang itu terbaring. Ketika dia melihat orang itu, hatinya penuh belas kasihan.
34. Maka dia mendekatinya lalu membersihkan luka-lukanya dengan wain dan mengubatinya dengan minyak. Selepas itu dia membalut luka-lukanya dan menaikkan orang itu ke atas haiwan tunggangannya sendiri. Dia membawa orang itu ke rumah tumpangan dan merawat dia di situ.
35. Keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan itu dan berkata kepadanya, ‘Rawatlah dia, dan sekiranya wang ini tidak cukup, saya akan membayarnya apabila saya kembali ke sini.’ ”