Lukas 1:6-18 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan.

7. Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia.

8. Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan.

9. Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah.

10. Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar.

11. Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan.

12. Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut.

13. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes.

14. Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan!

15. Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah.

16. Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka.

17. Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.”

18. Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.”

Lukas 1