17. Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.”
18. Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.”
19. Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini.
20. Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.”
21. Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan.
22. Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan.
23. Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah.
24. Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan.
25. Elisabet berkata, “Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku.”
26. Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea.
27. Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud.
28. Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!”
29. Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu.