Kolose 4:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Hai kamu yang menjadi tuan kepada abdi, perlakukanlah abdi dengan baik dan adil. Ingatlah bahawa kamu juga mempunyai Tuan di syurga.

2. Hendaklah kamu berdoa dengan tekun dan berwaspada, sambil bersyukur kepada Allah.

3. Berdoalah juga bagi kami, supaya Allah memberi kami peluang baik untuk mengisytiharkan berita tentang rahsia Kristus. Kerana hal itulah, sekarang aku dipenjarakan.

4. Berdoalah supaya aku dapat menyampaikan berita itu dengan sejelas-jelasnya, kerana hal itulah yang mesti aku lakukan.

5. Hendaklah kamu bijaksana dalam hubungan dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan gunakan setiap peluang dengan sebaik-baiknya.

6. Hendaklah percakapan kamu menyeronokkan dan menarik. Hendaklah kamu tahu memberikan jawapan kepada setiap orang dengan sepatutnya.

7. Tikhikus, saudara yang kita kasihi akan memberitahu kamu segala berita tentang aku. Dia seorang pekerja yang setia dan dia bekerja untuk Tuhan bersama-sama kami.

8. Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu, supaya dia boleh menggembirakan kamu dengan memberitahukan keadaan kami semua.

9. Tikhikus akan disertai oleh Onesimus, seorang daripada kalangan kamu. Onesimus seorang yang setia dan kami mengasihinya. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala sesuatu yang berlaku di sini.

Kolose 4