Kolose 2:9-23 Alkitab Berita Baik (BM)

9. Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia.

10. Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga diberikan hidup sejati. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah berada di bawah kekuasaan Kristus.

11. Kerana bersatu dengan Kristus, kamu sudah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat yang dilakukan oleh Kristus, yang membebaskan kamu daripada kuasa keinginan yang berdosa.

12. Hal itu demikian kerana pada waktu kamu dibaptis, kamu dikubur bersama-sama Kristus. Dengan baptisan itu juga kamu dihidupkan kembali bersama-sama Kristus, kerana kamu percaya kepada kuasa Allah yang telah membangkitkan Kristus daripada kematian.

13. Dahulu kamu sudah mati secara rohani kerana kamu berdosa, dan juga kerana kamu bukan orang Yahudi dan tidak mengenal Taurat Musa. Tetapi sekarang Allah telah menghidupkan kamu bersama-sama Kristus. Allah telah mengampunkan semua dosa kita.

14. Dia telah membatalkan surat hutang kita yang mengancam kita dengan syarat-syarat berat. Dia menghapuskan semuanya dengan menyalibkan surat hutang itu di kayu salib.

15. Di kayu salib itu Kristus membebaskan diri daripada kuasa roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Dia menjadikan mereka tontonan umum apabila Dia menggiring mereka sebagai tawanan dalam perarakan kemenangan-Nya.

16. Oleh itu janganlah biarkan orang membuat peraturan tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang hari-hari perayaan agama, atau perayaan bulan baru, ataupun tentang hari Sabat.

17. Semua peraturan itu cuma bayangan daripada hal-hal yang akan datang, tetapi kenyataan daripada hal-hal itu ialah Kristus!

18. Janganlah biarkan diri kamu ditipu oleh sesiapa yang pura-pura rendah hati dan yang menyembah malaikat. Orang seperti itu sombong kerana fikiran duniawi, dan mereka bangga kerana melihat penglihatan tertentu.

19. Dia tidak lagi bergantung kepada Kristus yang menjadi kepala kepada jemaah, iaitu tubuh-Nya. Di bawah pimpinan Kristus seluruh tubuh itu dipelihara, dan juga disatukan oleh sendi dan urat, serta membesar menurut kehendak Allah.

20. Kamu sudah mati bersama-sama Kristus, dan sudah dibebaskan daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. Tetapi mengapakah kamu hidup seperti orang yang masih dikuasai dunia ini? Mengapakah kamu menurut peraturan seperti berikut,

21. “Jangan jamah ini,” “Jangan kecap itu,” “Jangan sentuh itu”?

22. Semua itu tidak berguna lagi, sebaik sahaja dipatuhi. Semua itu hanya peraturan dan ajaran manusia.

23. Memang peraturan-peraturan itu kelihatannya bijaksana, dengan desakan supaya orang menyembah malaikat, menyeksa diri, dan berpura-pura merendahkan diri. Tetapi semua peraturan itu tidak berguna untuk mengendalikan nafsu manusia.

Kolose 2