Kolose 1:13-28 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Allah sudah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan, dan memindahkan kita ke bawah pemerintahan Anak-Nya yang dikasihi-Nya.

14. Melalui Anak-Nya, Allah membebaskan kita dan mengampunkan dosa kita.

15. Kristus serupa dengan Allah, tetapi Kristus dapat dilihat, sedangkan Allah tidak. Kristus itu Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan.

16. Hal itu demikian kerana melalui Dialah Allah menciptakan segala sesuatu di syurga dan di atas bumi, segala sesuatu yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, termasuk juga roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Allah menciptakan alam semesta melalui Kristus dan untuk Kristus.

17. Kristus sudah ada, sebelum segala sesuatu ada. Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian.

18. Kristuslah kepala jemaah, iaitu tubuh-Nya. Dialah sumber kehidupan jemaah itu. Dialah Anak sulung Allah; Allah membangkitkan Dia daripada kematian, supaya Kristus sahaja yang menjadi terutama daripada segala sesuatu.

19. Allah sendiri yang menentukan bahawa keperibadian Allah juga terdapat dengan sepenuhnya dalam diri Anak.

20. Melalui Anak juga, Allah mengambil keputusan untuk membawa segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga, kembali kepada-Nya. Allah melakukan hal itu melalui kematian Anak-Nya di kayu salib.

21. Dahulu kamu jauh daripada Allah, dan memusuhi Dia, kerana perbuatan dan fikiran kamu jahat.

22. Tetapi sekarang, dengan kematian Anak-Nya, Allah telah menjadikan kamu sahabat-sahabat-Nya, sehingga kamu dapat dibawa menghadap Dia dalam keadaan yang suci, murni, dan tidak bercela.

23. Tetapi kamu harus tetap percaya kepada Berita Baik itu dan dengan kepercayaan itu kamu dapat berdiri teguh. Janganlah lepaskan harapan yang kamu terima ketika mendengar Berita Baik daripada Allah. Itulah Berita Baik yang telah diisytiharkan kepada semua orang di dunia. Kerana Berita Baik itu, aku, Paulus menjadi hamba untuk mengisytiharkannya.

24. Sekarang aku bersukacita kerana boleh mengalami penderitaan untuk kepentingan kamu. Dengan penderitaan jasmani, aku melengkapi apa yang masih harus diderita oleh Kristus bagi pihak jemaah, iaitu tubuh-Nya.

25. Aku dijadikan penolong jemaah oleh Allah untuk kepentingan kamu. Aku diberikan tugas untuk menyampaikan keseluruhan perkhabaran Allah,

26. yang dirahsiakan oleh Allah kepada semua orang selama berabad-abad yang lalu, tetapi sekarang dinyatakan kepada umat-Nya.

27. Allah merancang untuk menyatakan rahsia-Nya kepada umat-Nya; rahsia yang agung dan mulia untuk umat manusia. Inilah rahsia itu: Kristus tinggal dalam diri kamu, dan hal ini bererti bahawa kamu akan ikut menikmati kemuliaan Allah.

28. Oleh itu kami mengisytiharkan Kristus kepada semua orang. Dengan segala kebijaksanaan kami memberikan amaran dan ajaran kepada mereka, supaya setiap orang dapat dibawa ke hadirat Allah sebagai orang yang matang dalam hal-hal rohani, kerana sudah bersatu dengan Kristus.

Kolose 1