Kisah Rasul-Rasul 9:6-20 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.”

7. Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapa pun.

8. Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik.

9. Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum.

10. Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, “Ananias!”“Ya Tuhan,” jawab Ananias.

11. Tuhan berkata kepadanya, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,

12. dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.”

13. Ananias menjawab, “Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem.

14. Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.”

15. Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel.

16. Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.”

17. Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. “Saudara Saulus,” katanya, “Tuhan sudah mengutus saya - Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.”

18. Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis.

19. Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya.Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik.

20. Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah.

Kisah Rasul-Rasul 9