Kisah Rasul-Rasul 9:15-26 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel.

16. Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.”

17. Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. “Saudara Saulus,” katanya, “Tuhan sudah mengutus saya - Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.”

18. Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis.

19. Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya.Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik.

20. Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah.

21. Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, “Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam.”

22. Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi.

23. Beberapa hari kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus.

24. Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia.

25. Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap.

26. Saulus pergi ke Yerusalem dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus.

Kisah Rasul-Rasul 9