Kisah Rasul-Rasul 8:15-30 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Apabila Petrus dan Yohanes tiba, mereka berdoa bagi pengikut Yesus di situ supaya menerima Roh Allah,

16. kerana tidak seorang pun di kalangan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka baru dibaptis demi nama Tuhan Yesus sahaja.

17. Lalu Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas kepala orang Samaria di situ, dan mereka pun menerima Roh Allah.

18. Simon melihat bahawa Roh Allah diberikan kepada orang apabila rasul-rasul meletakkan tangan ke atas kepala orang. Oleh itu, Simon menawarkan wang kepada Petrus dan Yohanes,

19. dan berkata, “Berikan kuasa itu kepada saya supaya orang menerima Roh Allah apabila saya meletakkan tangan saya ke atas kepala mereka.”

20. Tetapi Petrus menjawab, “Terkutuklah kamu dan wangmu, kerana menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang!

21. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak tulus di sisi Allah.

22. Bertaubatlah daripada niatmu yang jahat itu, dan berdoalah supaya Tuhan mengampuni kamu daripada fikiran yang sesat itu!

23. Aku tahu bahawa kamu sungguh iri hati dan diperhamba oleh dosa.”

24. Lalu Simon berkata kepada Petrus dan Yohanes, “Berdoalah kepada Tuhan bagi saya, supaya saya tidak ditimpa perkara-perkara yang saudara-saudara katakan itu.”

25. Setelah Petrus dan Yohanes memberikan kesaksian tentang Yesus serta menyampaikan perkhabaran Tuhan, mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan Berita Baik itu di banyak pekan di daerah Samaria.

26. Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan itu tidak digunakan lagi.)

27-28. Lalu Filipus pun berangkat. Seorang sida-sida dari Etiopia sedang dalam perjalanan pulang ke negerinya. Dia seorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab atas kekayaan Kandake, ratu negeri Etiopia. Pegawai itu pergi ke Yerusalem untuk menyembah Allah dan sekarang dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya, sambil membaca kitab Nabi Yesaya.

29. Roh Allah berkata kepada Filipus, “Pergi dekati kereta kuda itu.”

30. Filipus segera pergi menghampiri kereta kuda itu, lalu mendengar pegawai tinggi itu sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus bertanya kepadanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?”

Kisah Rasul-Rasul 8