Kisah Rasul-Rasul 8:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Saulus menyetujui pembunuhan itu.Pada hari itu juga, jemaah di Yerusalem mula menderita penganiayaan yang kejam. Semua pengikut Yesus, kecuali rasul-rasul, terpaksa melarikan diri ke seluruh daerah Yudea dan Samaria.

2. Beberapa orang yang takut akan Allah mengebumikan Stefanus. Mereka menangisi dia dengan sangat sedih.

3. Tetapi Saulus berusaha untuk membinasakan jemaah itu. Dia pergi dari rumah ke rumah, dan mengheret pengikut Yesus ke luar, baik lelaki mahupun perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.

4. Pengikut Yesus yang tercerai-cerai itu mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah ke serata tempat.

5. Filipus pergi ke kota yang terpenting di Samaria dan memberitahu orang di sana tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah.

6. Apabila orang di situ mendengar Filipus berkata-kata dan melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka memperhatikan baik-baik apa yang dikatakan oleh Filipus.

7. Sambil menjerit-jerit roh jahat keluar daripada banyak orang yang kerasukan. Banyak orang lumpuh dan tempang pun disembuhkan.

8. Oleh itu orang di Samaria sangat bersukacita.

9. Seorang lelaki bernama Simon tinggal di kota itu. Sudah beberapa lama dia mempesonakan orang Samaria dengan ilmu sihirnya. Dia mengaku dirinya seorang yang luar biasa.

10. Semua lapisan masyarakat di kota itu mendengarkan dia dengan penuh minat. Mereka berkata, “Tuhan yang disebut ‘Kekuasaan Besar’ sudah menjelma dalam orang ini.”

11. Mereka mendengarkan dia dengan penuh minat, kerana sudah lama sekali dia mempesonakan mereka dengan ilmu sihirnya.

12. Tetapi apabila mereka percaya kepada perkhabaran Filipus, iaitu Berita Baik tentang Pemerintahan Allah dan tentang Yesus Kristus, mereka dibaptis - baik lelaki mahupun perempuan.

13. Simon sendiri pun percaya kepada perkhabaran Filipus, dan setelah dia dibaptis, dia mengikuti Filipus. Simon hairan melihat keajaiban dan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus.

14. Rasul-rasul di Yerusalem mendengar berita bahawa orang Samaria sudah menerima firman Allah. Oleh itu mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana.

15. Apabila Petrus dan Yohanes tiba, mereka berdoa bagi pengikut Yesus di situ supaya menerima Roh Allah,

16. kerana tidak seorang pun di kalangan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka baru dibaptis demi nama Tuhan Yesus sahaja.

Kisah Rasul-Rasul 8