Kisah Rasul-Rasul 7:43-58 Alkitab Berita Baik (BM)

43. Khemah berhala Molokh itulah yang kamu usung,dengan patung Refan, bintang berhala kamu;itulah berhala yang kamu buat untuk disembah.Oleh itu Aku akan membuang kamu jauh ke seberang Babel.’

44. Nenek moyang kita mempunyai Khemah Tuhan yang bersama-sama mereka di padang gurun. Khemah itu dibuat seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, dan menurut contoh yang ditunjukkan oleh Allah kepada Musa.

45. Kemudian, nenek moyang kita menerima khemah itu daripada bapa mereka. Khemah itu dibawa oleh mereka ketika mengikut Yosua merebut negeri kita ini daripada kekuasaan bangsa-bangsa yang diusir oleh Allah di hadapan mereka. Khemah itu di situ sehingga zaman Daud.

46. Daud menyenangkan hati Allah dan memohon izin daripada Allah untuk membina sebuah rumah bagi Allah yang disembah oleh Yakub.

47. Tetapi Salomo itulah yang membina rumah itu untuk Allah.

48. Tetapi Allah Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan manusia, kerana di dalam kitab nabi tertulis,

49. ‘Langit takhta-Ku, dan bumi alas kaki-Ku.Rumah apakah yang mahu kamu bina untuk-Ku?Di manakah tempat kediaman-Ku?

50. Bukankah Aku sendiri yang menjadikan segala sesuatu?’ begitulah firman Allah.

51. Alangkah kerasnya kepala saudara-saudara! Alangkah degilnya saudara semua, sehingga tidak mahu taat kepada Allah dan tidak mahu mendengar firman Allah! Saudara-saudara seperti nenek moyang saudara semua; saudara semua selalu melawan Roh Allah!

52. Adakah seorang nabi yang tidak dianiaya oleh nenek moyang saudara semua? Mereka membunuh pesuruh-pesuruh Allah yang dahulu kala mengumumkan kedatangan Hamba Allah yang melakukan kehendak-Nya. Sekarang saudara-saudara sudah mengkhianati dan membunuh Dia.

53. Saudara-saudara sudah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat-malaikat, tetapi saudara-saudara tidak mentaati Taurat itu!”

54. Sementara anggota-anggota Majlis Agama mendengar semua yang dikatakan oleh Stefanus, mereka meradang dan marah sekali terhadapnya.

55. Tetapi Stefanus yang dikuasai oleh Roh Allah, menengadah ke langit. Dia melihat kemuliaan Allah, serta Yesus yang berdiri di tempat berkuasa di sebelah kanan Allah.

56. “Lihatlah,” katanya, “saya melihat syurga terbuka dan Anak Manusia berdiri di sebelah kanan Allah!”

57. Lalu anggota-anggota Majlis Agama berteriak-teriak sambil menutup telinga. Dengan serentak mereka menyerang Stefanus.

58. Mereka mengheret dia ke luar bandar lalu merejam dia. Orang yang menyaksikan peristiwa itu meletakkan pakaian mereka dekat kaki seorang muda bernama Saulus.

Kisah Rasul-Rasul 7