Kisah Rasul-Rasul 7:37-51 Alkitab Berita Baik (BM)

37. Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, ‘Allah akan mengutus seorang nabi kepada kamu, seperti Dia sudah mengutus aku. Nabi itu dipilih-Nya daripada bangsa kamu sendiri.’

38. Musa inilah yang menyertai bangsa Israel berhimpun di padang gurun. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Di situlah Allah mengurniai dia perkhabaran yang memberikan hidup, untuk disampaikan kepada kita.

39. Tetapi nenek moyang kita tidak mahu taat kepadanya. Mereka menolak dia dan ingin kembali ke Mesir.

40. Oleh itu mereka berkata kepada Harun, ‘Buatkan kita patung dewa yang boleh memimpin kita. Kita tidak tahu apa yang sudah berlaku terhadap Si Musa yang membawa kita keluar dari Mesir.’

41. Lalu mereka membuat berhala yang berupa lembu jantan, dan mereka mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka mengadakan perjamuan bagi menghormati buatan mereka sendiri.

42. Oleh itu Allah meninggalkan mereka, dan sengaja membiarkan mereka menyembah bintang-bintang di langit. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Kitab Nabi-Nabi,‘Hai orang Israel!Bukannya untuk Akukamu menyembelih dan mengorbankan binatangselama empat puluh tahun di padang gurun.

43. Khemah berhala Molokh itulah yang kamu usung,dengan patung Refan, bintang berhala kamu;itulah berhala yang kamu buat untuk disembah.Oleh itu Aku akan membuang kamu jauh ke seberang Babel.’

44. Nenek moyang kita mempunyai Khemah Tuhan yang bersama-sama mereka di padang gurun. Khemah itu dibuat seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, dan menurut contoh yang ditunjukkan oleh Allah kepada Musa.

45. Kemudian, nenek moyang kita menerima khemah itu daripada bapa mereka. Khemah itu dibawa oleh mereka ketika mengikut Yosua merebut negeri kita ini daripada kekuasaan bangsa-bangsa yang diusir oleh Allah di hadapan mereka. Khemah itu di situ sehingga zaman Daud.

46. Daud menyenangkan hati Allah dan memohon izin daripada Allah untuk membina sebuah rumah bagi Allah yang disembah oleh Yakub.

47. Tetapi Salomo itulah yang membina rumah itu untuk Allah.

48. Tetapi Allah Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan manusia, kerana di dalam kitab nabi tertulis,

49. ‘Langit takhta-Ku, dan bumi alas kaki-Ku.Rumah apakah yang mahu kamu bina untuk-Ku?Di manakah tempat kediaman-Ku?

50. Bukankah Aku sendiri yang menjadikan segala sesuatu?’ begitulah firman Allah.

51. Alangkah kerasnya kepala saudara-saudara! Alangkah degilnya saudara semua, sehingga tidak mahu taat kepada Allah dan tidak mahu mendengar firman Allah! Saudara-saudara seperti nenek moyang saudara semua; saudara semua selalu melawan Roh Allah!

Kisah Rasul-Rasul 7