Kisah Rasul-Rasul 7:25-44 Alkitab Berita Baik (BM)

25. Musa menyangka bangsanya faham bahawa Allah akan menggunakan dia untuk membebaskan mereka, tetapi mereka tidak faham.)

26. Keesokan harinya dia melihat dua orang Israel berkelahi, dan dia cuba mendamaikan mereka. Dia berkata, ‘Kamu bersaudara. Mengapa kamu berkelahi?’

27. Tetapi orang yang memukul sahabatnya menolak Musa ke tepi, lalu bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?

28. Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?’

29. Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu tinggal di negeri Midian. Di sana dia beroleh dua orang anak lelaki.

30. Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam belukar yang bernyala, di padang gurun dekat Gunung Sinai.

31. Musa hairan melihat hal itu. Lalu dia menghampiri belukar itu supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Tetapi dia mendengar suara Tuhan berfirman,

32. ‘Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu; Akulah Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Musa gementar kerana takut dan tidak berani melihat belukar itu lagi.

33. Lalu Tuhan berfirman pula, ‘Tanggalkan kasutmu, kerana tanah tempat engkau berdiri itu suci.

34. Aku sudah melihat dan memperhatikan betapa pahitnya penderitaan umat-Ku di Mesir. Aku sudah mendengar keluhan mereka, dan Aku sudah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau ke Mesir.’

35. Musa inilah yang tidak diterima oleh kaum Israel. Mereka bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?’ Tetapi dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi pemimpin dan pembebas, dengan pertolongan malaikat yang datang kepadanya di belukar yang bernyala itu.

36. Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir dengan melakukan berbagai-bagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah, dan kemudian di padang gurun selama empat puluh tahun.

37. Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, ‘Allah akan mengutus seorang nabi kepada kamu, seperti Dia sudah mengutus aku. Nabi itu dipilih-Nya daripada bangsa kamu sendiri.’

38. Musa inilah yang menyertai bangsa Israel berhimpun di padang gurun. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Di situlah Allah mengurniai dia perkhabaran yang memberikan hidup, untuk disampaikan kepada kita.

39. Tetapi nenek moyang kita tidak mahu taat kepadanya. Mereka menolak dia dan ingin kembali ke Mesir.

40. Oleh itu mereka berkata kepada Harun, ‘Buatkan kita patung dewa yang boleh memimpin kita. Kita tidak tahu apa yang sudah berlaku terhadap Si Musa yang membawa kita keluar dari Mesir.’

41. Lalu mereka membuat berhala yang berupa lembu jantan, dan mereka mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka mengadakan perjamuan bagi menghormati buatan mereka sendiri.

42. Oleh itu Allah meninggalkan mereka, dan sengaja membiarkan mereka menyembah bintang-bintang di langit. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Kitab Nabi-Nabi,‘Hai orang Israel!Bukannya untuk Akukamu menyembelih dan mengorbankan binatangselama empat puluh tahun di padang gurun.

43. Khemah berhala Molokh itulah yang kamu usung,dengan patung Refan, bintang berhala kamu;itulah berhala yang kamu buat untuk disembah.Oleh itu Aku akan membuang kamu jauh ke seberang Babel.’

44. Nenek moyang kita mempunyai Khemah Tuhan yang bersama-sama mereka di padang gurun. Khemah itu dibuat seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, dan menurut contoh yang ditunjukkan oleh Allah kepada Musa.

Kisah Rasul-Rasul 7