15. Yakub berpindah ke Mesir dan di situ dia serta nenek moyang kita meninggal.
16. Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikuburkan di kuburan yang dibeli oleh Abraham dengan sejumlah wang daripada suku Hamor.
17. Apabila sudah dekat masanya Allah memenuhi janji-Nya kepada Abraham, bilangan bangsa kita di Mesir semakin besar.
18. Akhirnya seorang raja lain yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah di Mesir.
19. Raja itu memperdaya bangsa kita dan berlaku kejam terhadap nenek moyang kita. Raja itu memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir supaya terlantar dan mati.
20. Pada masa itulah Musa lahir; dia bayi yang sangat comel. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan.
21. Apabila dia terpaksa dibuang, puteri raja Mesir mengambil dia dan memelihara dia sebagai anaknya sendiri.
22. Segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa dan dia menjadi seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya.
23. Apabila Musa berumur empat puluh tahun, hatinya tergerak untuk pergi melawat bangsanya orang Israel.
24. Dia melihat seorang antara mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia menolong orang yang dianiaya itu dengan membunuh orang Mesir itu. (
25. Musa menyangka bangsanya faham bahawa Allah akan menggunakan dia untuk membebaskan mereka, tetapi mereka tidak faham.)
26. Keesokan harinya dia melihat dua orang Israel berkelahi, dan dia cuba mendamaikan mereka. Dia berkata, ‘Kamu bersaudara. Mengapa kamu berkelahi?’
27. Tetapi orang yang memukul sahabatnya menolak Musa ke tepi, lalu bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?
28. Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?’
29. Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu tinggal di negeri Midian. Di sana dia beroleh dua orang anak lelaki.
30. Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam belukar yang bernyala, di padang gurun dekat Gunung Sinai.