9. Lalu Petrus berkata kepadanya, “Mengapa kamu dan suamimu berpakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, beberapa orang muda yang menguburkan suamimu ada di depan pintu. Mereka pun akan mengusungmu ke luar.”
10. Seketika itu juga isteri Ananias jatuh dan mati di hadapan Petrus. Orang muda di situ masuk dan mendapati Safira sudah mati. Oleh itu mereka membawa mayatnya ke luar dan menguburnya di sebelah suaminya.
11. Dengan demikian jemaah dan semua orang lain yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut.
12. Banyak mukjizat dan keajaiban dilakukan oleh rasul-rasul di kalangan orang ramai. Semua pengikut Yesus berkumpul di Serambi Salomo.
13. Tidak ada orang di luar kelompok itu berani berkumpul dengan pengikut-pengikut Yesus, walaupun masyarakat sangat menghormati mereka.
14. Tetapi bilangan mereka semakin bertambah, kerana banyak orang lelaki dan perempuan percaya kepada Tuhan.
15. Oleh sebab mukjizat yang dilakukan oleh para rasul, orang sakit dibaringkan di atas tilam atau tikar, lalu dibawa ke jalan supaya setidak-tidaknya mereka terkena bayang Petrus, apabila dia lalu di situ.
16. Banyak orang datang dari bandar-bandar di sekitar Yerusalem. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan.
17. Kemudian Imam Agung dan semua pengikutnya, yang termasuk golongan orang Saduki tempatan mula bertindak terhadap para rasul, kerana iri hati.
18. Mereka menangkap rasul-rasul itu lalu memasukkan mereka ke dalam penjara awam.
19. Tetapi pada malam itu, malaikat Tuhan membuka pintu-pintu penjara itu lalu memimpin rasul-rasul itu ke luar. Malaikat itu berkata kepada mereka,
20. “Pergilah berdiri di Rumah Tuhan dan beritahu orang ramai tentang hidup yang baru ini.”
21. Rasul-rasul itu menurut perintah malaikat itu. Pada waktu fajar mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar.Imam Agung dan para pengikutnya memanggil semua pemimpin masyarakat Yahudi untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Kemudian mereka memberikan perintah supaya rasul-rasul itu diambil dari penjara untuk dibawa menghadap mereka.
22. Tetapi apabila pegawai-pegawai itu tiba di penjara, mereka tidak mendapati rasul-rasul itu. Lalu mereka kembali dan melaporkan hal itu kepada Majlis Agama.
23. Mereka berkata, “Apabila kami tiba di penjara, kami mendapati pintu penjara masih terkunci baik-baik, dan pengawal-pengawal sedang berjaga di pintu. Tetapi apabila kami membuka pintu itu, kami tidak mendapati seorang pun di dalamnya.”
24. Apabila ketua-ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan mendengar laporan itu, mereka bingung tentang apa yang mungkin berlaku terhadap rasul-rasul itu.
25. Kemudian seorang lelaki masuk dan memberitahu mereka, “Beberapa orang yang tuan-tuan tahan di penjara sedang mengajar orang ramai di Rumah Tuhan!”