27. Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata,
28. “Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.”
29. Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia.
30. Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita.
31. Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa.
32. Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini - kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.”
33. Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu.
34. Tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel. Dia seorang guru Taurat yang sangat dihormati oleh semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu ke luar sebentar.
35. Lalu dia berkata kepada Majlis Agama itu, “Saudara-saudara orang Israel! Fikirkan baik-baik apa yang hendak saudara-saudara lakukan terhadap semua orang itu.
36. Beberapa waktu dahulu, Teudas muncul dan menganggap dirinya seorang pemimpin yang besar. Kira-kira empat ratus orang mengikut dia. Tetapi dia terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai, dan pergerakannya lenyap.
37. Setelah itu Yudas, orang dari Galilea pun muncul pada masa pembancian. Dia mempengaruhi banyak orang, tetapi dia juga terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai.
38. Oleh itu tentang perkara ini sekarang, saya cadangkan supaya jangan ambil tindakan apa-apa terhadap semua orang itu. Biarkan mereka pergi. Jika apa yang dicadangkan dan dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap.
39. Tetapi jika semua itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka. Malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.”Nasihat Gamaliel diterima oleh Majlis Agama.
40. Rasul-rasul itu dipanggil, lalu dicambuk, kemudian dilarang mengajar lagi berdasarkan ajaran Yesus. Setelah itu mereka dibebaskan.
41. Apabila rasul-rasul itu meninggalkan Majlis Agama, mereka bersukacita kerana Allah menganggap mereka layak menanggung hukuman bagi Yesus.
42. Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun di rumah orang, mereka tidak berhenti-henti mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Yesus itulah Penyelamat yang diutus oleh Allah.