Kisah Rasul-Rasul 5:17-32 Alkitab Berita Baik (BM)

17. Kemudian Imam Agung dan semua pengikutnya, yang termasuk golongan orang Saduki tempatan mula bertindak terhadap para rasul, kerana iri hati.

18. Mereka menangkap rasul-rasul itu lalu memasukkan mereka ke dalam penjara awam.

19. Tetapi pada malam itu, malaikat Tuhan membuka pintu-pintu penjara itu lalu memimpin rasul-rasul itu ke luar. Malaikat itu berkata kepada mereka,

20. “Pergilah berdiri di Rumah Tuhan dan beritahu orang ramai tentang hidup yang baru ini.”

21. Rasul-rasul itu menurut perintah malaikat itu. Pada waktu fajar mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar.Imam Agung dan para pengikutnya memanggil semua pemimpin masyarakat Yahudi untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Kemudian mereka memberikan perintah supaya rasul-rasul itu diambil dari penjara untuk dibawa menghadap mereka.

22. Tetapi apabila pegawai-pegawai itu tiba di penjara, mereka tidak mendapati rasul-rasul itu. Lalu mereka kembali dan melaporkan hal itu kepada Majlis Agama.

23. Mereka berkata, “Apabila kami tiba di penjara, kami mendapati pintu penjara masih terkunci baik-baik, dan pengawal-pengawal sedang berjaga di pintu. Tetapi apabila kami membuka pintu itu, kami tidak mendapati seorang pun di dalamnya.”

24. Apabila ketua-ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan mendengar laporan itu, mereka bingung tentang apa yang mungkin berlaku terhadap rasul-rasul itu.

25. Kemudian seorang lelaki masuk dan memberitahu mereka, “Beberapa orang yang tuan-tuan tahan di penjara sedang mengajar orang ramai di Rumah Tuhan!”

26. Oleh itu ketua pengawal Rumah Tuhan pergi dengan anak buahnya dan membawa rasul-rasul itu kembali. Tetapi mereka tidak menggunakan kekerasan, kerana mereka takut kalau-kalau orang ramai merejam mereka.

27. Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata,

28. “Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.”

29. Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia.

30. Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita.

31. Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa.

32. Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini - kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.”

Kisah Rasul-Rasul 5