Kisah Rasul-Rasul 4:24-35 Alkitab Berita Baik (BM)

24. Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, “Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya.

25. Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu,‘Mengapa orang bukan Yahudi marah?Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia?

26. Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang,dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.’

27. Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat.

28. Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu.

29. Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian.

30. Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci.”

31. Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian.

32. Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran. Tidak seorang pun menganggap apa yang dimilikinya kepunyaannya sendiri. Mereka saling berkongsi milik.

33. Dengan kuasa yang besar, rasul-rasul itu memberikan kesaksian tentang kebangkitan Tuhan Yesus. Oleh itu Allah sangat memberkati mereka.

34. Tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa. Mereka yang memiliki tanah atau rumah, menjual harta mereka. Lalu mereka menyerahkan hasil penjualan itu kepada rasul-rasul.

35. Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya.

Kisah Rasul-Rasul 4