18. Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya.
19. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah?
20. Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.”
21. Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu.
22. Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.
23. Setelah Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka kembali kepada sahabat-sahabat mereka dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi.
24. Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, “Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya.
25. Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu,‘Mengapa orang bukan Yahudi marah?Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia?
26. Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang,dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.’
27. Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat.
28. Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu.
29. Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian.
30. Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci.”
31. Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian.