Kisah Rasul-Rasul 4:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang.

2. Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan.

3. Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang.

4. Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang.

5. Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem.

6. Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu.

7. Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, “Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?”

8. Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, “Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi!

9. Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan.

10. Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian.

11. Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab,‘Batu yang kamu, pembina bangunan buang,ternyata menjadi batu yang paling utama.’

Kisah Rasul-Rasul 4