6. Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!”
7. Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat.
8. Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah.
9. Semua orang melihat dia berjalan dan memuji Allah.
10. Apabila mereka mengenali dia sebagai peminta sedekah yang biasa duduk di hadapan Pintu Indah di Rumah Tuhan, mereka hairan dan kagum melihat apa yang berlaku kepadanya.
11. Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum.
12. Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah?
13. Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, Yesus. Yesus itulah yang saudara-saudara serahkan kepada pihak berkuasa, dan yang saudara-saudara tolak di hadapan Pilatus, meskipun Pilatus hendak membebaskan Dia.
14. Dia suci dan baik, tetapi saudara-saudara menolak Dia dan meminta Pilatus melepaskan seorang pembunuh.
15. Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu.
16. Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri.