22. Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.”
23. Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi.
24. Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya.
25. Dengan pendirian yang berlainan mereka meninggalkan tempat itu, kerana Paulus mengatakan hal ini kepada mereka, “Memang benar apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang saudara-saudara!