15. Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius dan ke Penginapan Tiga untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia.
16. Apabila kami tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri dengan dikawal oleh seorang askar.
17. Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma.
18. Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati.
19. Tetapi orang Yahudi menentang keputusan itu, dan saya terpaksa mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar Roma, meskipun saya tidak mempunyai tuduhan terhadap bangsa saya sendiri.
20. Itulah sebabnya saya minta berjumpa dengan saudara-saudara supaya boleh bercakap dengan saudara semua. Sebenarnya saya dibelenggu seperti ini, kerana Dia yang diharapkan oleh bangsa Israel.”
21. Lalu mereka berkata kepadanya, “Kami belum menerima sepucuk surat pun dari Yudea tentang perkara saudara. Tiada seorang pun daripada mereka yang datang membawa khabar tentang saudara, atau bercakap buruk tentang saudara.
22. Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.”
23. Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi.
24. Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya.
25. Dengan pendirian yang berlainan mereka meninggalkan tempat itu, kerana Paulus mengatakan hal ini kepada mereka, “Memang benar apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang saudara-saudara!
26. Allah berfirman,‘Pergilah dan katakan hal ini kepada bangsa ini:Kamu akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham;kamu akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak,
27. kerana seolah-olah fikiran bangsa ini tumpul,telinga pekak, dan mata buta.Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat,telinga akan mendengar,dan fikiran boleh mengerti,sehingga mereka akan kembali kepada-Ku,dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ ”
28. Akhirnya Paulus berkata, “Saudara-saudara harus tahu bahawa perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah, sekarang sudah dikhabarkan kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan menerimanya!” [
29. Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar sesama sendiri dengan sengit.]
30. Selama dua tahun Paulus tinggal di Roma, di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya.