Kisah Rasul-Rasul 27:4-23 Alkitab Berita Baik (BM)

4. Dari situ kami meneruskan pelayaran. Kerana angin berlawanan dengan arah kapal, kami belayar menyusur pulau Siprus yang agak terlindung daripada angin.

5. Kami menyeberangi lautan yang berhadapan dengan Kilikia dan Pamfilia lalu tiba di Mira di negeri Likia.

6. Di situ pegawai tentera itu mendapatkan kapal yang datang dari Aleksandria dan akan belayar ke Italia. Oleh itu dia memindahkan kami ke kapal itu.

7. Selama beberapa hari kami belayar dengan lambat sekali, dan dengan susah payah akhirnya kami tiba di kota Knidus. Kerana angin terlalu kuat, kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke jurusan itu. Oleh itu kami belayar ke selatan pulau Kreta melalui Tanjung Salmone supaya terlindung daripada angin.

8. Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai pulau itu, dan akhirnya kami tiba di suatu tempat bernama Pelabuhan Indah, tidak berapa jauh dari kota Lasea.

9. Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini,

10. “Saudara-saudara, menurut pendapat saya, mulai sekarang perjalanan kita sangat berbahaya. Bukan sahaja muatan dan kapal kita akan mengalami kerosakan besar, bahkan nyawa pun akan hilang.”

11. Tetapi pegawai tentera itu lebih percaya kepada kapten kapal dan pemilik kapal daripada kata-kata Paulus.

12. Pelabuhan di situ memang tidak baik bagi kapal untuk tinggal pada musim sejuk. Oleh itu kebanyakan anak kapal ingin belayar dan meninggalkan pelabuhan itu, serta berharap dapat sampai ke Feniks, lalu tinggal di situ sepanjang musim sejuk. Feniks itu pelabuhan di Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.

13. Pada waktu itu angin selatan mula bertiup dengan lembut, dan anak kapal menyangka mereka boleh belayar lagi. Oleh itu mereka membongkar sauh lalu belayar menyusur pantai pulau Kreta.

14. Tetapi tidak lama kemudian angin yang sangat kuat, yang disebut angin Timur Laut, membadai dari darat,

15. dan memukul kapal kami. Kerana kapal tidak dapat belayar melawan angin, kami membiarkan kapal mengikut angin.

16. Kami terlindung sedikit apabila kami melalui sebelah selatan pulau Kauda yang kecil. Di situ dengan susah payah kami berjaya menyelamatkan sekoci kapal.

17. Setelah mereka menaikkan sekoci itu ke kapal, mereka memperkuat kapal dengan menggunakan tali yang diikatkan melingkari kapal itu. Kerana mereka takut terdampar di tebing pasir Sirtis, mereka menurunkan layar dan membiarkan kapal mengikut angin.

18. Angin terus-menerus membadai, sehingga keesokan harinya muatan kapal mula dibuang ke dalam laut.

19. Hari berikutnya anak kapal juga membuang sebahagian daripada alat-alat kapal.

20. Berhari-hari kami tidak dapat melihat matahari dan bintang, dan angin pun terus-menerus membadai. Akhirnya lenyaplah segala harapan kami untuk selamat.

21. Setelah beberapa lama mereka tidak makan, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Saudara-saudara sepatutnya menurut nasihat saya dan tidak belayar dari Kreta, maka kita tidak akan mengalami kerosakan dan kerugian ini.

22. Tetapi sekarang janganlah khuatir, kerana tidak seorang pun akan mati, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan.

23. Saya berkata demikian kerana semalam Allah yang memiliki saya dan yang saya sembah, menyuruh malaikat-Nya datang kepada saya.

Kisah Rasul-Rasul 27