Kisah Rasul-Rasul 27:33-44 Alkitab Berita Baik (BM)

33. Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. Paulus berkata, “Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa.

34. Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.”

35. Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan.

36. Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan.

37. Bilangan orang di kapal itu 276 orang.

38. Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, supaya kapal menjadi ringan.

39. Apabila hari sudah siang, anak kapal melihat pantai, tetapi mereka tidak mengenal teluk itu. Jika dapat mereka bercadang hendak mendarat di situ.

40. Oleh itu mereka memotong tali sauh dan membiarkan semua sauh tenggelam di laut. Mereka juga membuka tali yang mengikat kemudi. Kemudian mereka menaikkan layar di haluan kapal supaya angin meniup kapal itu ke hadapan dan menuju ke pantai.

41. Tetapi kapal itu melanggar tebing pasir. Bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak, sedangkan bahagian belakang kapal hancur dipukul ombak yang kuat.

42. Askar-askar di kapal bercadang membunuh semua orang tahanan, supaya orang tahanan tidak dapat berenang ke darat lalu melarikan diri.

43. Tetapi pegawai tentera itu mahu menyelamatkan Paulus, maka dia melarang mereka melakukan hal itu. Sebaliknya dia memerintahkan semua orang yang dapat berenang supaya terjun terlebih dahulu dan berenang ke pantai.

44. Yang lain menyusul dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan cara demikian kami semua selamat sampai ke darat.

Kisah Rasul-Rasul 27