Kisah Rasul-Rasul 26:20-32 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Hamba memberitahu orang bahawa mereka harus bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah, serta melakukan perkara-perkara yang membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat. Hamba mengajarkan hal itu mula-mula di Damsyik dan di Yerusalem, kemudian di seluruh negeri orang Yahudi dan orang bukan Yahudi.

21. Kerana hal inilah orang Yahudi menangkap hamba sementara hamba di dalam Rumah Tuhan dan mereka cuba membunuh hamba.

22. Tetapi sehingga saat ini Allah telah menolong hamba, dan sekarang hamba berdiri di sini untuk memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa. Apa yang hamba katakan sama dengan apa yang dikatakan oleh nabi-nabi dan Musa.

23. Mereka mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan, dan menjadi orang pertama yang bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Penyelamatan itu seperti cahaya bagi mereka.”

24. Sementara Paulus membela diri, Festus berseru, “Paulus, kamu gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah menyebabkan kamu gila!”

25. Tetapi Paulus menjawab, “Hamba tidak gila, Tuan Yang Terutama. Kata-kata yang hamba ucapkan itu benar dan keluar daripada fikiran yang waras.

26. Tuanku Raja Agripa, hamba berani berkata-kata di hadapan tuanku dengan terus terang, kerana tuanku faham akan perkara-perkara itu. Hamba yakin bahawa tuanku mengetahui semuanya, kerana hal-hal itu tidak berlaku di tempat yang tersembunyi.

27. Tuanku Raja Agripa, hamba tahu bahawa tuanku percaya kepada apa yang dikatakan oleh nabi-nabi itu!”

28. Raja Agripa bertitah kepada Paulus, “Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?”

29. Paulus menjawab, “Dalam tempoh yang singkat ataupun dalam tempoh yang panjang, hamba berdoa kepada Allah supaya tuanku dan para hadirin yang mendengarkan hamba hari ini boleh menjadi seperti hamba - tetapi tidak dirantai seperti hamba.”

30. Kemudian raja, gabenor, Puteri Bernike, dan semua orang yang lain berdiri.

31. Setelah mereka ke luar, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tidak melakukan apa-apa, sehingga dia patut dihukum mati atau dipenjarakan.”

32. Lalu Raja Agripa berkata kepada Festus, “Sebenarnya orang ini dapat dibebaskan, jika dia tidak mengajukan rayuan supaya perkaranya diadili oleh Kaisar.”

Kisah Rasul-Rasul 26