Kisah Rasul-Rasul 26:2-16 Alkitab Berita Baik (BM)

2. “Tuanku Raja Agripa! Hamba berasa bertuah kerana dibenarkan membela diri di hadapan tuanku daripada segala tuduhan orang Yahudi,

3. terutama sekali kerana tuanku sangat memahami adat istiadat dan masalah orang Yahudi. Oleh itu, hamba memohon sudilah tuanku mendengarkan keterangan hamba dengan sabar.

4. Semua orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak hamba masih muda. Mereka tahu bahawa sejak permulaan, hamba hidup di negeri hamba sendiri dan kemudian di Yerusalem.

5. Sudah lama mereka mengenal hamba. Jika mereka mahu, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa sejak permulaan hamba hidup sebagai orang Farisi, dan menuruti semua peraturan agama kami dengan teliti.

6. Sekarang hamba berdiri di hadapan tuanku kerana hamba berharap akan janji yang dibuat oleh Allah kepada nenek moyang kami.

7. Janji itu juga diharap-harapkan oleh dua belas suku Israel, sehingga mereka beribadat kepada Allah siang dan malam. Tuanku, justeru kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi.

8. Mengapa saudara-saudara orang Yahudi, tidak dapat percaya bahawa Allah membangkitkan orang mati?

9. Dahulu hamba sendiri pun berpendapat bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang Yesus orang Nasaret itu.

10. Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan surat kuasa daripada ketua-ketua imam, hamba memenjarakan banyak orang di kalangan umat Allah. Hamba pun memberikan persetujuan apabila mereka dijatuhi hukuman mati.

11. Sering kali hamba menyeksa mereka di rumah ibadat, dan memaksa mereka supaya tidak lagi percaya kepada Yesus. Hamba sangat marah terhadap mereka, sehingga hamba pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.”

12. “Itulah matlamat hamba ketika pergi ke Damsyik dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam.

13. Tuanku, pada masa hamba di tengah perjalanan, kira-kira pada tengah hari, hamba melihat cahaya yang lebih terang daripada matahari. Cahaya itu datang dari langit dan menyinari sekeliling hamba dan semua orang yang berjalan bersama dengan hamba.

14. Kami semua jatuh ke tanah. Lalu hamba mendengar suara berkata kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku? Jika engkau terus melawan, engkau hanya menyakiti dirimu sendiri; engkau seperti seekor lembu yang menendang kayu penggiring yang tajam hujungnya.’

15. Lalu hamba bertanya, ‘Siapakah tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Aku Yesus yang engkau aniaya.

16. Bangunlah dan berdirilah! Aku sudah menampakkan diri kepadamu dengan tujuan melantik engkau menjadi hamba-Ku. Engkau harus memberitahu orang lain apa yang engkau lihat hari ini tentang Aku dan tentang apa yang akan Aku tunjukkan kepadamu pada masa akan datang.

Kisah Rasul-Rasul 26