Kisah Rasul-Rasul 26:13-25 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Tuanku, pada masa hamba di tengah perjalanan, kira-kira pada tengah hari, hamba melihat cahaya yang lebih terang daripada matahari. Cahaya itu datang dari langit dan menyinari sekeliling hamba dan semua orang yang berjalan bersama dengan hamba.

14. Kami semua jatuh ke tanah. Lalu hamba mendengar suara berkata kepada hamba dalam bahasa Ibrani, ‘Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku? Jika engkau terus melawan, engkau hanya menyakiti dirimu sendiri; engkau seperti seekor lembu yang menendang kayu penggiring yang tajam hujungnya.’

15. Lalu hamba bertanya, ‘Siapakah tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Aku Yesus yang engkau aniaya.

16. Bangunlah dan berdirilah! Aku sudah menampakkan diri kepadamu dengan tujuan melantik engkau menjadi hamba-Ku. Engkau harus memberitahu orang lain apa yang engkau lihat hari ini tentang Aku dan tentang apa yang akan Aku tunjukkan kepadamu pada masa akan datang.

17. Aku akan menyelamatkan engkau daripada bangsa Israel dan daripada bangsa lain yang bukan Yahudi. Aku mengutus engkau kepada mereka,

18. untuk membuka mata mereka, supaya mereka keluar dari kegelapan dan memasuki cahaya yang terang; supaya mereka dilepaskan daripada kuasa Iblis lalu dikuasai oleh Allah. Oleh itu, dengan kepercayaan mereka kepada-Ku, dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah.’ ”

19. “Tuanku Raja Agripa! Itulah sebabnya hamba sentiasa berusaha untuk mentaati penglihatan yang hamba terima dari syurga.

20. Hamba memberitahu orang bahawa mereka harus bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah, serta melakukan perkara-perkara yang membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat. Hamba mengajarkan hal itu mula-mula di Damsyik dan di Yerusalem, kemudian di seluruh negeri orang Yahudi dan orang bukan Yahudi.

21. Kerana hal inilah orang Yahudi menangkap hamba sementara hamba di dalam Rumah Tuhan dan mereka cuba membunuh hamba.

22. Tetapi sehingga saat ini Allah telah menolong hamba, dan sekarang hamba berdiri di sini untuk memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa. Apa yang hamba katakan sama dengan apa yang dikatakan oleh nabi-nabi dan Musa.

23. Mereka mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan, dan menjadi orang pertama yang bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Penyelamatan itu seperti cahaya bagi mereka.”

24. Sementara Paulus membela diri, Festus berseru, “Paulus, kamu gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah menyebabkan kamu gila!”

25. Tetapi Paulus menjawab, “Hamba tidak gila, Tuan Yang Terutama. Kata-kata yang hamba ucapkan itu benar dan keluar daripada fikiran yang waras.

Kisah Rasul-Rasul 26