2. Di situ ketua-ketua imam dan pemimpin orang Yahudi mengemukakan tuduhan mereka terhadap Paulus. Mereka memohon pertolongan Festus supaya
3. menghantar Paulus ke Yerusalem, kerana mereka sudah berkomplot untuk membunuh dia di perjalanan.
4. Tetapi Festus menjawab, “Paulus ditahan di Kaisarea dan saya sendiri pun akan segera kembali ke sana.
5. Biarlah pemimpin-pemimpin kamu pergi dengan saya ke Kaisarea, lalu mendakwa dia jika dia memang bersalah.”
6. Festus tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, lalu dia kembali ke Kaisarea. Keesokan harinya dia duduk sebagai hakim di mahkamah dan memberikan perintah supaya Paulus dibawa menghadap.
7. Apabila Paulus tiba, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula mengemukakan tuduhan-tuduhan berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka.
8. Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, “Saya tidak bersalah terhadap Taurat Musa, atau terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar Roma.”
9. Tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi. Oleh itu dia bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya saya boleh mengadili kamu di sana?”
10. Paulus menjawab, “Saya berdiri di hadapan mahkamah Kaisar Roma, dan di sinilah saya harus diadili. Tuan sendiri tahu bahawa saya tidak bersalah terhadap orang Yahudi.
11. Jika saya sudah melanggar hukum dan melakukan sesuatu yang patut dijatuhi hukuman mati, saya rela mati. Tetapi jika tuduhan mereka tidak benar, tidak seorang pun boleh menyerahkan saya kepada mereka. Saya minta diadili oleh Kaisar Roma!”
12. Setelah berunding dengan para penasihatnya, Festus menjawab, “Kerana kamu minta diadili oleh Kaisar Roma, kamu harus pergi menghadap Kaisar.”
13. Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Puteri Bernike datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan Gabenor Festus.
14. Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, “Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks.
15. Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya.