Kisah Rasul-Rasul 23:19-34 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Komandan itu memegang tangan pemuda itu, lalu membawa dia ke samping dan bertanya, “Apa yang hendak kamu beritahu saya?”

20. Pemuda itu menjawab, “Orang Yahudi telah bersepakat meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah Majlis Agama hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti.

21. Janganlah percaya kepada mereka, kerana lebih daripada empat puluh orang akan bersembunyi untuk menunggu dia. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Sekarang mereka sudah siap dan sedang menunggu jawapan tuan.”

22. Komandan itu berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu sudah melaporkan hal ini kepada saya.” Lalu dia menyuruh pemuda itu pulang.

23. Kemudian komandan itu memanggil dua orang pegawai tenteranya dan berkata, “Siapkan dua ratus orang askar, tujuh puluh orang askar berkuda, dan dua ratus orang askar bertombak. Mereka harus berangkat ke Kaisarea pada pukul sembilan malam ini juga.

24. Juga siapkan beberapa ekor kuda untuk Paulus, dan jagalah keselamatannya sehingga dia sampai kepada Gabenor Feliks.”

25. Lalu komandan itu menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut:

26. “Yang Terutama Gabenor Feliks. Salam daripada Klaudius Lisias.

27. Orang Yahudi sudah menangkap orang ini dan hendak membunuh dia. Tetapi saya mendapati dia warganegara Roma. Oleh itu, saya dengan pasukan saya pergi menyelamatkan dia.

28. Saya mahu mengetahui alasan mereka menuduh dia, maka saya membawa dia kepada Majlis Agama mereka.

29. Saya mendapati tuduhan mereka bersangkutan dengan hukum mereka sendiri. Dia tidak melakukan apa-apa yang patut dihukum dengan hukuman mati ataupun hukuman penjara.

30. Apabila saya diberitahu bahawa orang Yahudi sudah berkomplot untuk membunuh dia, dengan segera saya menghantar dia kepada Tuan Gabenor. Saya menyuruh para pendakwanya mengemukakan tuduhan mereka terhadap dia kepada Tuan Gabenor.”

31. Askar-askar itu menjalankan tugas mereka dan membawa Paulus ke Antipatris pada malam itu juga.

32. Keesokan harinya askar yang berjalan kaki kembali ke kubu, tetapi askar yang berkuda meneruskan perjalanan dengan Paulus.

33. Apabila mereka tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat itu kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya.

34. Gabenor membaca surat itu lalu bertanya kepada Paulus dari mana asalnya. Apabila gabenor mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia,

Kisah Rasul-Rasul 23