10. Saya bertanya pula, ‘Apakah yang harus saya lakukan, tuan?’ Tuhan menjawab, ‘Bangunlah dan masuklah ke Damsyik. Di situ engkau akan diberitahu semuanya yang sudah ditetapkan oleh Allah yang harus engkau lakukan.’
11. Saya menjadi buta kerana cahaya terang itu. Oleh itu teman seperjalanan saya memegang tangan saya dan memimpin saya masuk ke Damsyik.
12. Di situ ada seorang bernama Ananias. Dia seorang yang takut akan Allah dan mentaati Taurat kita. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi yang tinggal di Damsyik.
13. Dia datang dan berdiri di sisi saya, lalu berkata, ‘Saudara Saulus, saudara dapat melihat lagi!’ Pada saat itu juga saya dapat melihat semula, lalu saya memandang dia.
14. Dia berkata, ‘Allah yang disembah nenek moyang kita sudah memilih saudara supaya mengetahui kehendak Allah, dan melihat Yesus, Hamba Allah yang melakukan kehendak Allah, serta mendengar suara Yesus sendiri.
15. Saudara akan menjadi saksi untuk mengkhabarkan apa yang sudah saudara lihat dan dengar kepada setiap orang.
16. Sekarang janganlah tunggu lebih lama lagi. Bangunlah dan mintalah orang membaptis saudara. Berserulah kepada Tuhan supaya dosa saudara dihapuskan.’ ”
17. “Saya kembali ke Yerusalem dan sementara saya berdoa di Rumah Tuhan, saya melihat suatu penglihatan.
18. Dalam penglihatan itu saya melihat Tuhan berkata kepada saya, ‘Cepat tinggalkan Yerusalem, kerana orang di sini tidak mahu menerima kesaksianmu tentang Aku.’
19. Saya berkata, ‘Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku sudah masuk ke rumah ibadat untuk menangkap dan memukul orang yang percaya kepada-Mu.
20. Apabila saksi-Mu Stefanus direjam, aku sendiri ada di situ dan menyetujui pembunuhan itu. Bahkan aku menjaga pakaian semua orang yang membunuh dia.’
21. Tetapi Tuhan berkata lagi, ‘Pergilah, kerana Aku akan menyuruh engkau ke tempat yang jauh, kepada orang bukan Yahudi.’ ”
22. Sehingga saat itu, orang ramai mendengarkan kata-kata Paulus. Tetapi kemudian mereka mula berseru dengan kuat, “Hapuskan dia! Bunuh dia! Dia tidak layak hidup!”