5. Tetapi apabila tiba masanya kami melanjutkan perjalanan, kami pun berangkat. Semua pengikut Yesus itu bersama-sama anak dan isteri mereka menghantar kami sampai ke luar kota. Di tepi pantai kami semua berlutut lalu berdoa.
6. Setelah bersalam-salaman kami menaiki kapal dan mereka pulang ke rumah.
7. Kami melanjutkan perjalanan dan belayar dari Tirus ke Ptolemais. Di situ kami memberikan salam kepada saudara-saudara yang percaya kepada Yesus, dan tinggal dengan mereka selama sehari.
8. Keesokan harinya kami berangkat pula, lalu tiba di Kaisarea. Di situ kami menumpang di rumah seorang penginjil bernama Filipus. Dia salah seorang daripada tujuh orang yang dipilih untuk menolong para rasul di Yerusalem.
9. Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin dan mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah.
10. Setelah beberapa hari kami di situ, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea.
11. Dia datang kepada kami lalu mengambil tali pinggang Paulus. Dengan tali pinggang itu Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri lalu berkata, “Inilah yang dikatakan oleh Roh Allah: Pemilik tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem dan mereka akan menyerahkan dia kepada orang bukan Yahudi.”
12. Apabila kami mendengar kata-kata itu, kami dan semua saudara lain memohon Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem.
13. Tetapi dia menjawab, “Mengapa kamu menangis seperti ini sehingga menyebabkan aku bersedih hati? Aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat di Yerusalem, tetapi juga untuk mati di situ kerana Tuhan Yesus.”
14. Kerana Paulus tidak mahu mendengarkan kami, kami pun berhenti melarang dia. Kami berkata, “Biarlah kehendak Tuhan berlaku.”
15. Setelah kami tinggal di situ beberapa lama, kami mengemaskan barang lalu berangkat ke Yerusalem.
16. Beberapa orang pengikut Yesus dari Kaisarea mengikut kami dan menghantar kami ke rumah Manason, kerana di rumah dialah kami akan menginap. Manason berasal dari Siprus dan sudah lama menjadi pengikut Yesus.