Kisah Rasul-Rasul 21:20-28 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Setelah mendengar laporan Paulus, mereka semua memuji Allah. Kemudian mereka berkata kepada Paulus, “Saudara Paulus, dengarlah! Di sini ada beribu-ribu orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus, dan mereka mentaati Taurat Musa dengan setia.

21. Tetapi mereka sudah diberitahu bahawa saudara mengajar semua orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bukan Yahudi supaya tidak menurut Taurat Musa, tidak menyunat anak-anak mereka ataupun menurut adat istiadat orang Yahudi.

22. Mereka tentu sudah mendengar bahawa saudara sudah tiba di sini. Apakah yang harus kita lakukan sekarang?

23. Kami mahu saudara melakukan hal ini. Di sini ada empat orang yang sudah bernazar.

24. Pergilah dengan mereka dan lakukanlah upacara penyucian diri, dan bayarlah biaya mereka juga. Kemudian mereka boleh mencukur rambut. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang didengar oleh mereka tentang saudara tidak benar, kerana saudara pun taat kepada Taurat Musa.

25. Tetapi bagi orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus, kami telah mengirim sepucuk surat kepada mereka tentang keputusan kami. Mereka tidak boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan darah, atau makan daging binatang yang mati dicekik, dan mereka juga harus menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.”

26. Oleh itu, Paulus pergi dengan empat orang itu dan esoknya dia menjalankan upacara penyucian diri bersama-sama mereka. Kemudian Paulus masuk ke Rumah Tuhan dan mengumumkan bilangan hari apabila upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi masing-masing.

27. Apabila jangka waktu tujuh hari hampir berakhir, beberapa orang Yahudi dari daerah Asia melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus.

28. Mereka berseru, “Hai orang Israel, tolong! Inilah orang yang pergi ke serata tempat dan mengajar semua orang menentang bangsa Israel, Taurat Musa, dan Rumah Tuhan ini. Malahan sekarang dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan. Dia telah menajiskan tempat yang suci ini!” (

Kisah Rasul-Rasul 21