5. Mereka pergi terlebih dahulu lalu menunggu kami di Troas.
6. Setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, kami belayar meninggalkan Filipi. Lima hari kemudian kami berjumpa dengan mereka di Troas. Di situ kami tinggal selama seminggu.
7. Pada petang Sabtu kami berkumpul untuk makan bersama-sama saudara seiman. Kerana Paulus akan berangkat esoknya, dia mengajar orang di situ. Dia berkata-kata terus sehingga tengah malam.
8. Banyak pelita dinyalakan di dalam bilik di tingkat atas, tempat kami berhimpun.
9. Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Kerana Paulus tidak berhenti-henti berkata-kata, pemuda itu mengantuk lalu tertidur di jendela itu dan akhirnya jatuh ke tanah dari tingkat ketiga. Apabila mereka mengangkatnya, dia sudah mati.
10. Tetapi Paulus turun, lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluk dia. Paulus berkata, “Janganlah khuatir, dia masih hidup!”
11. Kemudian Paulus naik kembali, lalu membahagikan roti dan makan bersama. Setelah lama bercakap dengan mereka, sehingga matahari terbit, Paulus berangkat.
12. Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang ke rumah dan mereka sangat terhibur.
13. Kami pergi ke kapal lalu belayar terlebih dahulu ke Asos. Di situ kami akan menyambut Paulus naik ke kapal. Dia menyuruh kami belayar terlebih dahulu kerana dia mahu ke Asos melalui jalan darat.
14. Setelah Paulus tiba di Asos, kami membawa dia naik ke kapal lalu bertolak ke Metilene.
15. Dari sana kami belayar pula, dan esoknya tiba di pulau Khios. Lusanya kami tiba di Samos dan sehari kemudian di Miletus.
16. Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta.
17. Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia.
18. Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia.
19. Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi.
20. Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah.
21. Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita.
22. Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ.
23. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan.