Kisah Rasul-Rasul 2:6-21 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing.

7. Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, “Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea!

8. Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing?

9. Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia,

10. dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma,

11. baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!”

12. Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah maknanya semua ini?”

13. Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, “Semua orang ini mabuk!”

14. Lalu Petrus berdiri bersama-sama sebelas orang rasul yang lain. Dengan suara lantang dia mula berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini.

15. Semua orang ini tidak mabuk seperti yang saudara-saudara sangka, kerana kini baru pukul sembilan pagi.

16. Tetapi hal ini sudah diberitahukan oleh Allah melalui Nabi Yoel:

17. Allah berfirman, ‘Inilah yang akan berlaku pada akhir zaman,Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang.Anak-anak lelaki dan perempuan kamuakan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka;orang muda kamu akan melihat hal-hal yang Aku perlihatkan kepada mereka,orang tua kamu akan mendapat mimpi yang Aku berikan kepada mereka.

18. Bahkan ke atas hamba-hamba-Ku baik lelaki mahupun perempuan,akan Aku curahkan Roh-Ku pada masa itu,dan mereka akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka.

19. Aku akan melakukan mukjizat di atas sana, di langit,dan keajaiban di bawah sini, di bumi.Kelak akan ada darah, api,dan asap tebal;

20. matahari akan menjadi gelap,dan bulan menjadi merah seperti darah,sebelum Hari Tuhan, hari yang besar dan mulia itu datang.

21. Pada masa itu, sesiapa yang berseru kepada Tuhanakan diselamatkan.’

Kisah Rasul-Rasul 2