Kisah Rasul-Rasul 19:6-19 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Ketika Paulus meletakkan tangannya ke atas kepala mereka, Roh Allah menguasai mereka, lalu mereka bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib, serta menyampaikan perkhabaran Allah.

7. Mereka semuanya kira-kira dua belas orang.

8. Selama tiga bulan, dengan berani Paulus terus-menerus berkata-kata kepada orang di rumah ibadat. Dia berbincang dengan mereka dan berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Pemerintahan Allah.

9. Tetapi beberapa orang antara mereka degil dan tidak mahu percaya. Di hadapan semua orang mereka mencerca rancangan Allah untuk menyelamatkan manusia melalui Yesus. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka, lalu pergi dengan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke dewan syarahan Tiranus. Setiap hari Paulus mengadakan perbincangan di situ.

10. Perkara ini berlaku selama dua tahun sehingga semua orang yang tinggal di wilayah Asia, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi mendengar firman Tuhan.

11. Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus.

12. Bahkan sapu tangan dan kain yang pernah dipakai oleh Paulus pun dibawa kepada orang sakit, lalu mereka sembuh dan roh jahat keluar daripada mereka.

13. Beberapa orang Yahudi yang pergi ke serata tempat dan mengusir roh jahat, cuba menggunakan nama Tuhan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada roh-roh jahat, “Aku mengusir kamu demi nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus.”

14. Tujuh orang lelaki, iaitu anak-anak ketua imam Yahudi bernama Skewa berbuat demikian.

15. Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, “Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?”

16. Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menyerang mereka dengan ganas dan mengalahkan mereka. Dia mencederakan mereka dan mengoyak-ngoyak pakaian mereka, sehingga mereka lari dari rumahnya.

17. Semua orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang tinggal di Efesus mendengar peristiwa itu, lalu mereka menjadi takut. Oleh itu nama Tuhan Yesus semakin dipuji-puji.

18. Banyak orang yang sudah percaya kepada Yesus, datang ke hadapan umum untuk mengakui perbuatan jahat mereka pada masa lampau.

19. Mereka yang biasa mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakar semua itu di hadapan orang ramai. Apabila dijumlahkan, harga semua buku itu kira-kira lima puluh ribu keping wang perak.

Kisah Rasul-Rasul 19