Kisah Rasul-Rasul 19:19-33 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Mereka yang biasa mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakar semua itu di hadapan orang ramai. Apabila dijumlahkan, harga semua buku itu kira-kira lima puluh ribu keping wang perak.

20. Melalui semua peristiwa yang luar biasa itu firman Tuhan semakin tersebar luas dan semakin banyak orang percaya kepada Yesus.

21. Setelah semua peristiwa itu berlaku, Paulus mengambil keputusan untuk pergi ke Makedonia dan Akhaya lalu terus ke Yerusalem. “Setelah aku pergi ke sana,” katanya, “aku harus pergi ke Roma juga.”

22. Oleh itu Paulus mengutus Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantunya, pergi ke Makedonia terlebih dahulu. Sementara itu Paulus tinggal lebih lama di wilayah Asia.

23. Pada masa itulah berlaku rusuhan yang besar di Efesus kerana ajaran tentang Yesus.

24. Di kota itu ada seorang tukang perak bernama Demetrius, yang biasa membuat model kuil Dewi Artemis. Usahanya mendatangkan penghasilan yang besar bagi pekerja-pekerjanya.

25. Oleh itu dia mengumpulkan semua pekerjanya dan pekerja tukang perak yang lain, lalu berkata, “Saudara-saudara tahu bahawa kekayaan kita datangnya daripada pekerjaan ini.

26. Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia.

27. Hal itu membahayakan kerana perniagaan kita akan mendapat nama buruk. Bukan itu sahaja, bahkan orang tidak akan menghormati kuil Dewi Artemis lagi dan kebesarannya pun akan lenyap. Padahal Dewi Artemis disembah oleh semua orang di Asia dan di seluruh dunia!”

28. Apabila mereka mendengar hal itu, mereka sangat marah dan mula berseru, “Hidup Artemis, dewi orang Efesus!”

29. Rusuhan itu meluas ke seluruh kota. Kumpulan perusuh itu menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu.

30. Paulus sendiri mahu menghadap orang ramai untuk berkata-kata kepada mereka, tetapi pengikut Yesus di situ tidak membenarkan dia.

31. Beberapa orang pegawai kerajaan di daerah itu, yang bersahabat dengan Paulus, menyuruh orang memberitahu Paulus supaya tidak masuk ke stadium itu.

32. Sementara itu, orang yang berkumpul di stadium menjadi kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada yang berteriak begitu, kerana kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka datang di situ.

33. Beberapa orang menyangka bahawa Aleksander yang bertanggungjawab, kerana orang Yahudi menyuruh dia tampil ke muka. Aleksander memberikan isyarat dengan tangan supaya diberikan peluang untuk membela diri di hadapan orang ramai.

Kisah Rasul-Rasul 19