9. Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus, “Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti,
10. kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini umat-Ku.”
11. Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ.
12. Semasa Galio menjadi gabenor negeri Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili.
13. Mereka mengajukan tuduhan ini, “Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami!”
14. Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ, “Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu.
15. Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!”
16. Lalu Galio mengusir mereka ke luar.
17. Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu.
18. Paulus tinggal dengan pengikut Yesus di Korintus selama beberapa hari lagi. Kemudian dia meninggalkan mereka lalu belayar dengan Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea kerana telah bernazar.
19. Apabila mereka tiba di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan mengadakan perbincangan dengan orang Yahudi.
20. Mereka meminta supaya Paulus tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu.
21. Pada waktu berangkat, Paulus berkata kepada mereka, “Jika diperkenankan oleh Allah, aku akan kembali.” Setelah itu dia belayar dari Efesus.
22. Apabila dia tiba di Kaisarea, dia melanjutkan perjalanan ke Yerusalem untuk memberikan salam kepada jemaah di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia.
23. Setelah tinggal beberapa lama di Antiokhia dia mengunjungi daerah Galatia dan Frigia untuk meneguhkan iman semua pengikut Yesus di situ.
24. Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab.
25. Dia telah mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes.