7. dan Yason menyambut mereka di rumahnya. Mereka semua melanggar hukum Kaisar Roma, kerana mereka berkata bahawa ada raja lain yang bernama Yesus.”
8. Dengan kata-kata itu mereka menimbulkan kegemparan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa kota itu.
9. Lalu pihak berkuasa menyuruh Yason dan pengikut Yesus lainnya membayar ikat jamin. Setelah itu mereka dibenarkan pergi.
10. Pada malam itu pengikut Yesus di kota itu menyuruh Paulus dan Silas pergi ke Berea. Sebaik sahaja tiba di situ, mereka pergi ke rumah ibadat orang Yahudi.
11. Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika. Mereka suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab untuk mengetahui sama ada ajaran Paulus itu benar.
12. Banyak antara mereka percaya kepada Yesus. Banyak wanita Yunani yang terkemuka, dan orang lelaki Yunani yang percaya kepada Yesus.
13. Apabila orang Yahudi di Tesalonika mendengar bahawa Paulus mengkhabarkan firman Allah di Berea juga, mereka pun datang dan mula menghasut orang ramai supaya merusuh.
14. Dengan segera pengikut Yesus di situ menghantar Paulus ke pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea.
15. Setelah menghantar Paulus sampai ke Atena, pengikut Yesus dari Berea kembali dengan membawa arahan daripada Paulus supaya Silas dan Timotius menyusul dia secepat mungkin.
16. Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala.
17. Oleh itu dia berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan dengan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah. Setiap hari Paulus berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia.
18. Beberapa orang guru yang mengikut faham Epikuros dan faham Stoa, berdebat dengan Paulus. Beberapa orang antara mereka bertanya, “Orang ini tahu apa? Pengetahuannya cetek, tetapi berlagak pandai!”Yang lain menjawab, “Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa asing.” Mereka berkata demikian kerana Paulus berkata-kata tentang Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian.
19. Oleh itu mereka membawa Paulus ke mesyuarat Areopagus. Di situ mereka berkata, “Kami ingin mendengar ajaran baru yang kamu beritakan itu.
20. Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu aneh pada pendengaran kami. Oleh itu kami ingin mengetahui maknanya.” (
21. Mereka berkata demikian, kerana semua orang Atena dan orang bangsa asing yang tinggal di situ suka sekali menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir.)
22. Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, “Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa.
23. Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, ‘Kepada Allah Yang Tidak Dikenal’. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua.