2. Seperti yang biasa dilakukan oleh Paulus, dia pergi ke rumah ibadat, dan berbincang dengan orang di situ tentang ayat-ayat Alkitab. Dia melakukan hal itu selama tiga hari Sabat berturut-turut.
3. Dia menjelaskan ayat-ayat Alkitab itu dan membuktikan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan dan bangkit daripada kematian. Paulus berkata bahawa Yesus yang diberitakannya kepada mereka itu Penyelamat yang diutus oleh Allah.
4. Beberapa orang antara mereka percaya kepada kata-kata Paulus lalu mengikut Paulus dan Silas; begitu juga sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah, dan banyak lagi wanita terkemuka.
5. Tetapi orang Yahudi iri hati, lalu mengumpulkan pengacau di jalan-jalan dan membentuk kumpulan perusuh. Lalu mereka menimbulkan kekacauan di seluruh kota itu dan menyerbu rumah Yason untuk mencari Paulus dan Silas. Mereka hendak membawa Paulus dan Silas menghadap orang ramai.
6. Tetapi apabila mereka tidak dapat menjumpai Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke hadapan pihak berkuasa di kota itu dan berseru, “Semua orang ini sudah menimbulkan kekacauan di serata tempat. Sekarang mereka datang ke kota kita,
7. dan Yason menyambut mereka di rumahnya. Mereka semua melanggar hukum Kaisar Roma, kerana mereka berkata bahawa ada raja lain yang bernama Yesus.”
8. Dengan kata-kata itu mereka menimbulkan kegemparan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa kota itu.
9. Lalu pihak berkuasa menyuruh Yason dan pengikut Yesus lainnya membayar ikat jamin. Setelah itu mereka dibenarkan pergi.
10. Pada malam itu pengikut Yesus di kota itu menyuruh Paulus dan Silas pergi ke Berea. Sebaik sahaja tiba di situ, mereka pergi ke rumah ibadat orang Yahudi.
11. Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika. Mereka suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab untuk mengetahui sama ada ajaran Paulus itu benar.
12. Banyak antara mereka percaya kepada Yesus. Banyak wanita Yunani yang terkemuka, dan orang lelaki Yunani yang percaya kepada Yesus.
13. Apabila orang Yahudi di Tesalonika mendengar bahawa Paulus mengkhabarkan firman Allah di Berea juga, mereka pun datang dan mula menghasut orang ramai supaya merusuh.
14. Dengan segera pengikut Yesus di situ menghantar Paulus ke pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea.
15. Setelah menghantar Paulus sampai ke Atena, pengikut Yesus dari Berea kembali dengan membawa arahan daripada Paulus supaya Silas dan Timotius menyusul dia secepat mungkin.