7. Setelah berbincang lama sekali, akhirnya Petrus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara tentu tahu bahawa beberapa waktu yang lalu Allah memilih saya daripada kalangan saudara untuk mengkhabarkan Berita Baik itu kepada orang bukan Yahudi, supaya mereka pun boleh mendengar dan percaya.
8. Allah yang mengenal hati manusia sudah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada orang bukan Yahudi dengan mengurniakan Roh Allah kepada mereka seperti yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita.
9. Allah tidak membeza-bezakan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Dia mengampunkan dosa mereka kerana mereka percaya.
10. Oleh itu, mengapakah saudara-saudara mahu mencubai Allah dengan membebani pengikut-pengikut ini dengan kewajipan berat yang baik nenek moyang kita mahupun kita sendiri tidak sanggup melakukannya?
11. Janganlah berbuat demikian! Kita percaya dan diselamatkan kerana rahmat Tuhan Yesus; demikianlah Allah menyelamatkan mereka juga.”
12. Semua orang yang berkumpul di situ diam, sementara mendengarkan laporan Barnabas dan Paulus tentang segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah di kalangan orang bukan Yahudi melalui mereka.
13. Setelah mereka selesai memberikan laporan, Yakobus berkata, “Saudara-saudara, dengarlah!
14. Simon baru sahaja menerangkan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bukan Yahudi dengan memilih suatu kelompok di kalangan mereka untuk menjadi umat-Nya.
15. Hal ini sesuai dengan nubuat nabi-nabi, kerana di dalam Alkitab tertulis,
16. ‘Setelah itu Aku akan kembali,firman Tuhan,Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh,dan memperbaiki runtuhannya.Aku akan menegakkannya semula,
17. supaya semua orang yang lain akan mencari Aku,semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku.
18. Demikianlah firman Tuhan yang telah menyatakan hal ini sejak dahulu.’ ”
19. Yakobus melanjutkan kata-katanya, “Menurut pendapat saya, kita tidak boleh menyusahkan orang bukan Yahudi yang percaya kepada Allah.
20. Sebaliknya, kita harus menulis sepucuk surat untuk menasihati mereka supaya tidak makan makanan yang najis di sisi agama kerana sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan daging binatang yang mati dicekik, atau makan darah. Mereka harus menjauhkan diri juga daripada perbuatan cabul.
21. Hal itu demikian, kerana sejak dahulu Taurat Musa telah dibacakan di rumah-rumah ibadat pada setiap hari Sabat, dan diberitakan di setiap kota.”