Kisah Rasul-Rasul 14:16-28 Alkitab Berita Baik (BM)

16. Pada masa yang lampau Allah membiarkan semua orang mengikut kemahuan masing-masing.

17. Tetapi Allah sentiasa memberikan bukti-bukti tentang diri-Nya dengan perkara-perkara baik yang dilakukan-Nya. Dia mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.”

18. Walaupun rasul-rasul berkata demikian, masih sukar juga mereka mencegah orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.

19. Beberapa orang Yahudi yang datang dari Antiokhia di Pisidia dan juga dari Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, lalu menyeret dia ke luar bandar. Mereka menyangka Paulus sudah mati.

20. Tetapi apabila pengikut Yesus di situ berkumpul di sekeliling Paulus, dia bangun lalu masuk kembali ke bandar. Keesokan harinya dia dan Barnabas berangkat ke Derbe.

21. Di Derbe, Paulus dan Barnabas mengkhabarkan Berita Baik dan banyak orang menjadi pengikut Yesus. Kemudian mereka kembali ke Listra, lalu pergi ke Ikonium dan kemudian ke Antiokhia di Pisidia.

22. Mereka menguatkan hati pengikut-pengikut di situ dan menggalakkan mereka supaya tetap percaya kepada Yesus. Rasul-rasul itu berkata, “Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Allah.”

23. Paulus dan Barnabas melantik pemimpin-pemimpin bagi setiap jemaah, lalu dengan berdoa dan berpuasa mereka menyerahkan jemaah kepada pemeliharaan Tuhan yang dipercayai oleh mereka.

24. Setelah Paulus dan Barnabas menjelajah daerah Pisidia, mereka sampai ke Pamfilia.

25. Mereka mengkhabarkan Berita Baik di Perga, lalu mereka pergi ke Atalia.

26. Dari situ mereka belayar kembali ke Antiokhia. Dahulu di kota itu mereka diserahkan kepada Allah yang akan memelihara mereka dengan penuh kasih, supaya dapat menjalankan tugas yang sekarang sudah diselesaikan.

27. Apabila mereka tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan jemaah di situ dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. Mereka memberitahu bahawa Allah sudah membuka jalan supaya orang bukan Yahudi percaya kepada Yesus.

28. Paulus dan Barnabas tinggal lama dengan pengikut-pengikut Yesus di situ.

Kisah Rasul-Rasul 14