Kisah Rasul-Rasul 13:27-34 Alkitab Berita Baik (BM)

27. Orang yang tinggal di Yerusalem dan pemimpin-pemimpin mereka tidak sedar bahawa Dialah Penyelamat itu. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, sehingga mereka menghukum Yesus. Tetapi melalui perbuatan mereka itu berlakulah apa yang sudah dikatakan oleh nabi-nabi.

28. Meskipun mereka tidak mempunyai alasan apa-apa untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, namun mereka meminta Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.

29. Setelah mereka melakukan semua yang tertulis di dalam Alkitab tentang Dia, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam kubur.

30. Tetapi Allah membangkitkan Dia daripada kematian.

31. Kemudian selama beberapa hari Dia menampakkan diri kepada mereka yang dahulu berjalan bersama-sama Dia dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang mereka menjadi saksi bagi-Nya kepada bangsa Israel.

32. Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu. Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita,

33. sudah dilakukan-Nya bagi kita, iaitu keturunan mereka, dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Seperti yang tertulis di dalam Kitab Mazmur fasal dua,‘Engkaulah Anak-Ku,pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’

34. Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian; Dia tidak akan mengalami kematian lagi. Tentang hal ini Allah berfirman,‘Aku akan memberkati kamu dengan berkat yang suci,seperti yang Aku janjikan kepada Daud.’

Kisah Rasul-Rasul 13