Kisah Rasul-Rasul 12:9-22 Alkitab Berita Baik (BM)

9. Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan.

10. Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus.

11. Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, “Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.”

12. Apabila Petrus menyedari keadaannya, dia pergi ke rumah Maria, ibu Yohanes Markus. Banyak orang berkumpul di situ dan sedang berdoa.

13. Petrus mengetuk pintu luar, dan seorang hamba perempuan bernama Rode datang untuk membuka pintu.

14. Dia mengenali suara Petrus, tetapi kerana terlalu gembira dia cepat-cepat masuk kembali tanpa membuka pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus berdiri di luar.

15. “Kamu gila!” kata mereka. Tetapi Rode berkeras mengatakan orang itu Petrus. Oleh itu mereka berkata, “Dia itu malaikatnya!”

16. Sementara itu Petrus terus-menerus mengetuk pintu. Akhirnya mereka membuka pintu, dan apabila mereka melihat Petrus, mereka hairan sekali.

17. Petrus memberikan isyarat dengan tangan supaya mereka tenang. Lalu dia menceritakan bagaimana Tuhan sudah membawa dia keluar dari penjara. Kemudian Petrus berkata, “Beritahukan hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara yang lain.” Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi ke tempat lain.

18. Pagi berikutnya berlakulah kegemparan di kalangan askar-askar itu. Apakah yang sudah berlaku terhadap Petrus?

19. Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus, tetapi mereka tidak dapat menjumpai dia. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya askar-askar pengawal itu disoal siasat lalu dihukum mati.Setelah itu Raja Herodes meninggalkan Yudea lalu tinggal di Kaisarea untuk beberapa waktu.

20. Raja Herodes sangat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh itu mereka datang bersama untuk menghadap Raja Herodes. Mula-mula mereka meyakinkan Blastus, orang yang mengepalai istana Raja Herodes, supaya memihak mereka. Kemudian mereka pergi menghadap Raja Herodes dan minta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes.

21. Pada hari yang sudah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran lalu bersemayam di takhta dan menyampaikan ucapan kepada rakyat.

22. Orang ramai yang mendengar ucapan Raja Herodes berseru, “Dewalah yang berkata-kata, bukan manusia.”

Kisah Rasul-Rasul 12