Keluaran 6:3-16 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Aku juga telah membuat perjanjian dengan mereka. Aku berjanji untuk memberi mereka tanah Kanaan, tanah tempat mereka dahulu tinggal sebagai orang asing.

4. Aku telah mendengar keluhan orang Israel yang diperhamba oleh bangsa Mesir, lalu Aku mengingat perjanjian-Ku itu.

5. Oleh itu, beritahulah orang Israel bahawa Aku berfirman kepada mereka, ‘Akulah TUHAN; Aku akan membebaskan kamu daripada perhambaan orang Mesir. Aku akan menggunakan kuasa-Ku yang besar untuk menyelamatkan kamu dan untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas bangsa Mesir.

6. Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir.

7. Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.’ ”

8. Musa menyampaikan semua firman itu kepada orang Israel, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan kata-katanya, kerana perhambaan yang kejam itu telah menyebabkan mereka putus asa.

9. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa,

10. “Pergilah menghadap raja Mesir dan katakan bahawa dia mesti membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.”

11. Tetapi Musa menjawab, “Orang Israel sendiri tidak mahu mendengarkan kata-kataku, apalagi raja Mesir. Aku tidak pandai berkata-kata.”

12. Tetapi TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Beritahulah orang Israel dan raja Mesir bahawa Aku telah memerintah engkau untuk memimpin orang Israel keluar dari Mesir.”

13. Inilah salasilah Musa dan Harun: Ruben, anak sulung Yakub, mempunyai empat orang anak lelaki: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. Merekalah nenek moyang puak-puak dalam suku Ruben.

14. Simeon mempunyai enam orang anak lelaki: Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan juga Saul, anak lelaki daripada seorang perempuan Kanaan. Merekalah nenek moyang puak-puak dalam suku Simeon.

15. Lewi mempunyai tiga orang anak lelaki: Gerson, Kehat, dan Merari. Merekalah nenek moyang puak-puak dalam suku Lewi. Lewi hidup selama 137 tahun.

16. Gerson mempunyai dua orang anak lelaki: Libni dan Simei; mereka mempunyai keturunan yang banyak.

Keluaran 6