Keluaran 40:21-38 Alkitab Berita Baik (BM)

21. Lalu dia meletakkan Tabut itu di dalam Khemah TUHAN dan menggantungkan tirai pelindung di depan Tabut Perjanjian, sesuai dengan perintah TUHAN kepadanya.

22. Dia meletakkan meja di dalam Khemah TUHAN, di bahagian utara, sebelah luar tirai itu,

23. dan meletakkan roti yang dipersembahkan kepada TUHAN di atas meja itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

24. Musa meletakkan kaki pelita di dalam Khemah TUHAN, di bahagian selatan, berhadapan dengan meja itu.

25. Di situ, di hadirat TUHAN, dia menyalakan pelita itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

26. Dia meletakkan mazbah emas di dalam Khemah TUHAN, di hadapan tirai,

27. lalu membakar kemenyan yang harum, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

28. Dia menggantungkan tirai di pintu masuk Khemah TUHAN,

29. dan di situ, di depan tirai itu, dia meletakkan mazbah tempat membakar korban. Di atas mazbah itu dia mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, seperti yang diperintahkan TUHAN.

30. Dia meletakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu mengisinya dengan air.

31. Musa, Harun dan anak-anaknya membasuh tangan dan kaki di situ,

32. bila-bila sahaja mereka masuk ke dalam Khemah TUHAN atau mendekati mazbah, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.

33. Musa memasang pagar di sekeliling Khemah TUHAN dan mazbah itu, serta menggantungkan tirai di pintu pagar. Demikianlah Musa menyelesaikan segala pekerjaan itu.

34. Kemudian turunlah awan meliputi Khemah TUHAN, dan Khemah itu penuh dengan cahaya hadirat TUHAN.

35. Oleh sebab itu, Musa tidak dapat masuk ke dalam Khemah TUHAN.

36. Orang Israel memindahkan perkhemahan mereka ke tempat lain hanya apabila awan itu naik dari atas Khemah TUHAN.

37. Selama awan itu tidak naik, mereka tidak memindahkan perkhemahan mereka.

38. Selama pengembaraan orang Israel, mereka dapat melihat awan TUHAN di atas Khemah itu pada siang hari, dan api menyala-nyala di dalam awan itu pada malam hari.

Keluaran 40