1. TUHAN berfirman kepada Musa,
2. “Pada hari pertama bulan pertama, pasanglah Khemah-Ku.
3. Letakkan Tabut Perjanjian yang mengandungi Sepuluh Hukum di dalam Khemah itu dan pasanglah tirai di depan Tabut.
4. Bawalah meja ke dalam dan letakkan peralatan di atas meja itu. Bawalah juga kaki pelita dan letakkan pelita di atasnya.
5. Letakkan mazbah emas tempat membakar kemenyan di hadapan Tabut Perjanjian, dan gantungkan tirai di pintu masuk Khemah.
6. Letakkan mazbah tempat membakar korban di depan Khemah.
7. Letakkan besen di antara Khemah dan mazbah, lalu isikan besen itu dengan air.
8. Pasanglah pagar di sekeliling Khemah dan gantungkan tirai di pintu pagar.
9. Kemudian tahbiskanlah Khemah itu dan segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka Khemah itu akan menjadi suci.
10. Selepas itu tahbiskanlah mazbah serta segala peralatannya dengan menyapukannya dengan minyak upacara, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci.
11. Tahbiskanlah juga besen air dan alasnya dengan cara yang sama.
12. Kemudian bawalah Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah TUHAN, dan lakukan upacara pembasuhan diri bagi mereka.